Dokumen – Najib Arah Geran RM100 Juta Bagi Projek Komersil Kroni ?

viewer

viewer (1)

viewer (2)

viewer (3)

Dari surat ini, saya dapat mengesahkan bahawa:

1. Dato’ Seri Najib memberi arahan sendiri melalui minit supaya permohonan geran RM100 juta yang berlainan dari tujuan geran R&D dipertimbangkan oleh MOSTI

2. Projek yang diusahakan oleh NSE Resources adalah untuk membekalkan stim ke sebuah kilang yang sedang dibina di Kerteh

3. Kontrak pembekalan stim pada harga RM55 satu tan itu adalah satu kontrak swasta yang melibatkan NSE Resources dan pemilik kilang lain tanpa melibatkan sebarang pegangan modal oleh kerajaan, maka sebarang keuntungan akan dimiliki oleh NSE Resources

Perenggan (7) surat dari NSE Resources ini secara jelas menunjukkan bahawa projek komersil ini tidak mendapat dokongan dari institusi kewangan kerana syarikat itu menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank. Ini sepatutnya secara serta merta menimbulkan kebimbangan di pihak Dato’ Seri Najib dan kerajaan kerana projek komersil yang tidak melepasi saringan kewangan dari institusi kewangan (seterusnya sukar mendapatkan pinjaman) membayangkan aliran tunai dan kedudukan kewangan yang tidak baik. Secara langsung, ada risiko besar bahawa pulangan dari projek tidak mencukupi untuk membayar balik sebarang dana yang disuntik ke dalam projek ini.

Sewajarnya, Dato’ Seri Najib mengambil sikap tidak campur tangan dan berhati-hati kerana ia melibatkan dana awam sebanyak RM100 juta yang sepatutnya digunakan bagi tujuan R&D. Keputusan beliau memberi saranan kepada Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi untuk mempertimbangkan permohonan ini, apatah lagi dalam bentuk geran, adalah satu salahguna dana rakyat yang terang dan nyata.
Pada pendapat saya, projek komersil ini tidak menepati syarat-syarat untuk mendapat geran atau bantuan modal sebesar ini berdasarkan perkara berikut:

1. Teknologi dan perusahaan menghasilkan stim atau syngas dari bahan kayu atau bahan lain bukanlah teknologi terkini atau unik kepada Malaysia. Semakan menunjukkan bahawa boiler yang menggunakan kaedah ini sudah lama dipasarkan (contohnya melalui syarikat http://www.superiorgasification.com/) . Oleh itu, penghasilan stim atau syngas dari bahan kayu seperti yang diusahakan oleh NSE Resources tidaklah wajar mendapat suntikan dana sebanyak RM100 juta dalam bentuk geran seolah-olah ia teknologi terkini yang akan melonjakkan nama Malaysia, sedangkan ia hanyalah perusahaan biasa yang ada di pasaran.

2. Pembekal stim atau syngas untuk Kawasan Perindustrian Kerteh (yang mana kilang pembeli sedang dibina) sudah pun ada, jadi tidak timbul keperluan kilang stim milik NSE Resources ini menjadi daya tarikan pelaburan di situ. PETRONAS sudah mempunyai satu kilang iaitu Centralised Utilities Facilities (CUF) yang dimiliki oleh PETRONAS Gas yang menghasilkan stim pada kadar 720 tan sejam atau 6.3 juta tan setahun, iaitu 6 kali ganda yang diperlukan oleh kilang baru milik CJ Arkema itu.

Utusan surat-menyurat yang saya bekalkan hari ini secara jelas menunjukkan penglibatan Dato’ Seri Najib yang mengarahkan supaya dana awam RM100 juta diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengusahakan projek komersil yang diragui untung ruginya oleh bank-bank.

Saya pasti geran RM100 juta ini tidak melalui proses saringan teknologi oleh panel pakar R&D yang dilantik oleh MOSTI seperti mana penyelidik-penyelidik tulen terpaksa lalui.

Dato’ Seri Najib tidak boleh terus lari dari persoalan penyelewengan sebegini – atau hanya menyertai larian anti-rasuah – beliau perlu beri penjelasan kerana ada beberapa dokumen lagi yang akan saya dedahkan.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

22 April 2014

blog rafizi ramli

PKR dakwa syarikat ‘pilihan Najib’ terima RM50j lagi (malaysiakini)

23 april 2014 -Sebuah syarikat yang dituduh mendapat perakuan dari perdana menteri untuk menerima dana RM100 juta menerusi geran kajian dan penyelidikan (R&D) didakwa menerima tambahan RM50 juta lagi daripada satu lagi kementerian.MP Pandan, Rafizi Ramli mendakwa NSE Resources Corporation Sdn Bhd (NSERC) menerima tambahan RM50 juta menerusi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha).

Menurut Rafizi, butiran itu terkandung dalam satu surat bertarikh 17 April 2014 kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu yang turut menyebut tentang geran RM100 juta dari Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (Mosti) sebelum ini.

“Ini bermakna, sebuah syarikat swasta iaitu NSE Resources Corporation Sdn Bhd berjaya mendapat peruntukan dana awam sebanyak RM150 juta dari dua kementerian berbeza untuk mengusahakan projek komersialnya.

“Malah, jumlah RM150 juta ini melebihi dari kos projeknya yang dimaklumkan kepada Mosti iaitu RM130 juta,” kata Rafizi.

Dakwaan itu dibuat hampir serentak ketika timbalan menteri MOSTI, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menafikan menganugerahkan geran RM100 juta kepada syarikat itu.

Beliau malah mengedarkan tiga jilid buku tebal yang memberi maklumat teliti mengenai kesemua 4,566 penerima dana bernilai RM 2.9 bilion bawah MOSTI dalam Rancangan Malaysia ke-9.

Malaysiakini hari ini sekali lagi menghubungi NSERC untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Rafizi namun masih belum menerima sebarang jawapan.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s