Malaysia Kehilangan RM3.5 Bilion Setahun Akibat AP Kereta Diberi Kepada Kroni UMNO

Dato’ Mukhriz Mahathir

Saya mengalu-alukan maklumbalas pertama Datuk Mukhriz Mahathir terhadap isu penurunan harga kereta memandangkan beliau adalah antara orang penting yang bertanggungjawab menggubal dasar automotif negara, atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Saya sertakan laporan BERNAMA bertarikh 7 September 2012 mengenai kenyataan yang dibuat beliau semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Jerlun:

Mukhriz: ‘BN tidak berani buat janji kosong’

7 September 2012

JERLUN – Barisan Nasional (BN) tidak akan membuat janji yang tidak mampu ditunaikan oleh parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata semua yang tertulis di dalam manifesto pilihan raya BN akan dianggap sebagai janji kepada rakyat dan semua itu perlu ditepati untuk memberi kesenangan kepada rakyat.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata BN tidak akan berani untuk membuat sebarang janji yang ia tahu tidak akan mampu dilaksanakan.

“Lainlah dengan pembangkang. Mereka kata manifesto yang dibuat itu bukannya janji sebaliknya hanya cadangan, sebab itu mereka tidak serius dalam menunaikan semua yang ditulis dalam manifesto pilihan raya yang lepas.

“Apabila mereka sendiri dah kata macam tu, apa kita nak harapkan lagi daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Jerlun di Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Bonglai di sini hari ini.

Beliau berkata janji menurunkan harga kereta yang dibuat oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli sekiranya pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang adalah bersifat populis.

Katanya strategi pembangkang ialah menggunakan isu-isu yang bersifat populis seperti hendak hapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hapuskan tol dan turunkan harga kereta.

“Mereka tidak jelaskan dari mana datangnya duit malah ada pemimpin PKR mengatakan untuk mengumpul dana kerajaan, mereka akan jual AP (permit import) kereta menggunakan kaedah opsyen.

“Seperti kita tahu, kalau guna kaedah itu, orang yang menawarkan harga tertinggilah yang akan menang. Jadi daripada anggaran kami setiap AP akan berharga RM50,000 hingga RM60,000. Kalau itu dilakukan, bagaimana nak turunkan harga kereta? Itu baru AP, belum kira lagi harga kereta tersebut,” katanya.

Mukhriz berkata pembangkang hanya pandai membuat cadangan tetapi tidak memikirkan bagaimana hendak menjayakan cadangan tersebut termasuk dari mana hendak dapatkan punca pendapatan untuk menampung semua itu.

“Silap-silap kita (negara) akan menjadi muflis,” katanya.

Kenyataan Datuk Mukhriz yang mengesahkan anggaran kementerian beliau bahawa permit import (AP) akan menarik bidaan setinggi RM60,000 setiap satu jika dikendalikan secara telus melalui tender terbuka mempunyai kesan yang besar kepada kewangan negara.

Jika jumlah AP yang dikeluarkan mencecah 70,000 setiap tahun seperti yang dianggarkan, negara dan rakyat kehilangan hasil sekitar RM3 bilion hingga RM3.5 bilion setiap tahun kerana kementerian yang turut diketuai Datuk Mukhriz kini hanya mengenakan caj RM10,000 sahaja setiap AP apabila ia diagihkan kepada pihak-pihak tertentu tanpa melalui proses tender terbuka.

Bagi setiap AP, negara dan rakyat rugi sehingga RM50,000 dan jumlah itu masuk poket pihak berkepentingan yang mengaut untung besar akibat dasar tidak telus Umno/Barisan Nasional.

Jumlah RM3 bilion hingga RM3.5 bilion ini adalah lebih tinggi berbanding anggaran yang dibuat KEADILAN dalam menentukan sumber kewangan untuk menampung dasar menurunkan harga kereta melalui pemotongan cukai eksais secara berperingkat. Ia juga membuktikan kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakan dasar ini, jika Umno/Barisan Nasional benar-benar serius mendengar desakan rakyat.

Kenyataan Datuk Mukhriz juga menggambarkan beliau masih belum faham mekanisme yang boleh digunapakai untuk menurunkan harga kereta kerana terlalu terbawa-bawa dengan pandangan yang berpihak kepada tauke kaya dan pengedar kereta yang membuat untung berlebihan dari sistem AP sedia ada.

Rungutan beliau, kononnya harga AP yang tinggi jika dilelong secara terbuka akan menyebabkan harga kereta bertambah tinggi membayangkan beliau mahu mempertahankan kadar keuntungan berlipat kali ganda yang kini dinikmati pihak-pihak berkepentingan ini. Menurut perkiraan beliau, bila kadar keuntungan ini dipertahankan, sebarang peningkatan kos kepada pengedar kereta akibat harga AP yang lebih tinggi perlu ditanggung oleh rakyat.

KEADILAN mengesyorkan supaya pengedar-pengedar berkepentingan ini bersaing sesama mereka dengan mengurangkan kadar keuntungan demi mendapatkan pelanggan. Apabila harga AP meningkat dan harga kereta mula turun, mereka tidak ada pilihan melainkan mengurangkan kadar keuntungan yang tidak berpatutan yang mereka nikmati selama ini.

Demi menerangkan lagi mekanisme ini kepada Datuk Mukhriz, KEADILAN ingin menjemput Datuk Mukhriz untuk turut sama hadir ke Forum #turunhargakereta yang diadakan pada hari Khamis ini (13 September 2012) jam 8 malam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor yang bakal menemukan YB Tony Pua, YB Dr Dzulkifly Ahmad, Saudara Wan Saiful Wan Jan, Saudara Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad.

Jika beliau benar-benar berjiwa besar demi kepentingan rakyat, kami yakin Datuk Mukhriz akan sudi singgah bersama-sama dengan rakyat berbincang kaedah terbaik untuk menurunkan harga kereta, terutamanya apabila beliau sendiri sudah mengesahkan bahawa kerajaan mempunyai dana yang mencukupi untuk melaksanakannnya.

*Rafizi Ramli adalah Pengarah Strategi PKR/ harakahdaily

Share

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s