Pemimpin UMNO P.Pinang, Musa Sheikh Fadzir Jual Tanah Milik Melayu, Untung RM5 Juta

GEORGE TOWN, 24 JULAI: Pekung pemimpin UMNO Pulau Pinang terdedah apabila didapati mengaut keuntungan peribadi sebanyak RM5 juta dalam tempoh tiga bulan sahaja hasil jualan 10 ekar tanah milik 31 pemilik tanah Melayu di Kampung Terang, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Pemimpin UMNO yang dikaitkan ialah Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan pengarah pilihan raya BN Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar.

Demikian kenyataan media, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memetik pendedahan yang dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Halim Hussain minggu lepas.

“Walaupun tindakan kedua-dua pemimpin UMNO ini tidaklah haram, tindakan mereka sebagai broker tanah menjual tanah Melayu untuk keuntungan peribadi yang sepatutnya dimiliki pemilik tanah Melayu adalah tidak bermoral dan tidak berprinsip, apatah lagi apabila mereka mendakwa kononnya mempertahankan hak tanah Melayu.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus mengarahkan mereka untuk memulangkan keuntungan RM5 juta sebagai broker tanah atau 57% keuntungan yang dikaut dalam 3.5 bulan tersebut,”  tambah beliau.

Jelas Guan Eng, tanah bernilai RM8.6 juta tersebut dipindah milik daripada 31 pemilik tanah Melayu kepada Maison Heights Sdn Bhd pada 31 Januari 2012 lalu.

Maison Heights Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 6 Mac 2009 untuk tujuan pembinaan, tanah, pelaburan dan pemajuan hartanah serta perdagangan am dan mempunyai modal berbayar RM1 juta dan dimiliki oleh Musa dengan saham bernilai RM500,000, Omar dengan RM499,999 sementara adik Omar, Harun mempunyai saham RM1.

Maison Heights Sdn Bhd telah menjual tanah tersebut kepada Kay Pride Sdn Bhd pada 16 Mei 2012 dengan harga RM13.5 juta.

Keuntungan RM5 juta daripada pelaburan asal RM8.6 juta, jelas Guan Eng, bermaksud margin keuntungan adalah 57% dalam masa 3.5 bulan sahaja. Ia adalah satu keuntungan yang luar biasa dalam masa yang singkat.

“Adakah ini caranya pemimpin UMNO mempertahankan hak Melayu dengan mengaut keuntungan yang sepatutnya dimiliki orang Melayu biasa?

“Sehingga sekarang, mereka belum lagi menjelaskan bagaimana keuntungan RM5 juta itu boleh membawa manfaat kepada 31 pemilik tanah Melayu tersebut,” ujar beliau lagi.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dahulu, kedua-dua pemimpin UMNO tersebut telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin mengambil tanah Melayu demi menghalau keluar orang Melayu dari Pulu Pinang.

“UMNO juga telah mengkritik kerajaan negeri kerana ingin memperoleh tanah 100 ekar di kawasan lain di Balik Pulau untuk tujuan pendidikan dengan mendirikan Asian Women Leadership University (AWLU).

“Kerajaan Pulau Pinang telah dimangsakan dengan serangan rasis UMNO walaupun 60% tanah tersebut dimiliki bukan Melayu dan hanya 40% dimiliki Melayu,” jelasnya.

Malah katanya, AWLU telah diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri pada 10 Februari 2012 sebagai projek utama pendidikan dalam usaha mentransformasikan Malaysia kepada ekonomi pendapatan tinggi.

“Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Dato’ Sri Idris Jala pada 12 Jun 2012 telah meminta kerajaan negeri untuk memulakan proses pemindahan milik tanah 100 ekar kepada AWLU.

“Selepas kerajaan negeri berjaya memujuk AWLU untuk memilih kawasan lain, proses pemerolehan tanah telah dibatalkan.”

Menurutnya, perkara tersebut bukan sahaja telah melumpuhkan serangan rasis UMNO tetapi juga telah membuktikan bahawa kerajaan negeri hanya memperoleh tanah untuk tujuan awam yang berdasarkan cadangan yang  kredibel daripada institusi yang boleh dipercayai.

Berbalik kepada skandal terbaru melibatkan pimpinan UMNO negeri itu, Guan Eng berkata, pendedahan skandal tanah oleh pemimpin-pemimpin UMNO ini membuktikan hipokrasi UMNO yang menguar-uarkan pertahanan hak Melayu tetapi sebenarnya menggadaikan hak Melayu.

“Ia jelas bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi pemimpin-pemimpin UMNO seperti Datuk Musa dan Datuk Omar yang telah menggadaikan tanah Melayu.

“Jika mereka adalah broker tanah yang tulen, mereka berhak untuk mendapat komisyen pada kadar pasaran iaitu 2% ataupun RM270,000, dan bukan RM5 juta ataupun kadar komisyen 57%!” ujar Guan Eng.

– Roketkini.com

Share

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s