UMNO/BN Gagal Uruskan Air Tidak Terhasil (NRW) – Negara Hilang Pendapatan RM4.99 Bilion !

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Malaysia telah kehilangan pendapatan disebabkan Non-Revenue Water (NRW) atau Air Tidak Terhasil dengan angka amat mengejutkan sebanyak RM4.99 billion bagi tahun 2008, 2009 dan 2010.

Daripada angka itu, kehilangan pendapatan bagi tahun 2010 sahaja dianggarkan RM1.74 billion, ekoran kegagalan Kerajaan BN menguruskan NRW secara holistik.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer), S Piarapakaran berkata, data tersebut diperolehi oleh Awer dengan menjalankan pemodelan NRW berdasarkan statistik tahun 2010 yang dilaporkan di Malaysia Water Industry Guide 2011.

Menurutnya, peratusan NRW menunjukkan pengurangan daripada 36.63 petatus bagi tahun 2009 kepada 36.37 peratus bagi tahun 2010.

Katanya, walau bagaimanapun, jumlah isipadu air terawat yang tidak terhasil meningkat daripada 1.80 billion meter padu (m3) pada tahun 2009 kepada 1.87 billion meter padu (m3) pada tahun 2010 atau bersamaan dengan peningkatan sebanyak 3.5 peratus.

“Awer telah menggunakan tarif domestik dan komersil terendah, peratus penggunaan air bagi sektor domestik dan komersil serta jumlah isipadu NRW sebagai parameter-parameter asas untuk pemodelan ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Jumlah pendapatan sektor air pada tahun 2010, menurutnya, sebanyak RM4,086,618,000, manakala jumlah anggaran kehilangan pendapatan disebabkan oleh NRW hampir 42.7 peratus daripada jumlah pendapatan dari sektor itu.

Katanya, Awer masih berpendirian tegas bahawa cadangan sasaran nilai NRW kebangsaan patut ditetapkan pada 20 peratus  menjelang tahun 2020 dan mesti dijadikan indikator kebangsaan bagi industri air negara seperti yang diumumkan oleh persatuan itu tahun lalu.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tambahnya, telah menyangkal sasaran 20 peratus itu sebagai tidak boleh dicapai dan tiada pulangan ekonomi.

“Malangnya, tiada sebarang pengiraan atau pemodelan telah dijalankan oleh SPAN untuk membuktikan perkara itu. Apatah lagi, baru-baru ini SPAN telah melaporkan bahawa sasaran 25 peratus NRW dapat dicapai lebih awal daripada tahun 2020. Adakah pengawalselia ini menetapkan sasaran yang mudah dicapai secara ad-hoc?” ujarnya.

Beliau menegaskan, untuk mencapai nilai 20 peratus sasaran NRW, semua operator air mesti dikawalselia di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Water Services Industry Act 2006 – WSIA).

Melalui tindakan itu, katanya, Penunjuk Prestasi Utama (Key Performance Index – KPI) dan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan (National NRW Reduction Action Plan) mestilah disediakan.

“KPI juga mesti ditetapkan kepada pegawai-pegawai SPAN dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk memastikan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan dapat disediakan menjelang pertengahan 2012 untuk seluruh Malaysia.

“Tiada gunanya wujud agensi-agensi pusat yang melepaskan tugas ini kepada operator-operator air dan hanya menunggu untuk mendapatkan keputusan tanpa pelan terperinci,” tegasnya.

Pelan tindakan itu pula, tambah beliau lagi, mestilah merangkumi sasaran-sasaran yang khusus untuk setiap negeri bagi jangkamasa tertentu dan pengenalpastian kawasan-kawasan kritikal, sub-kritikal dan tidak kritikal.

Selain itu, mestilah juga diwujudkan peraturan teknikal (technical guideline) dan audit yang ketat untuk Perbelanjaan Modal (Capital Expenditure-Capex) dan Perbelanjaan Operasi (Operational Expenditure-Opex) untuk pelan-pelan pengurangan NRW.

Kesemua pelan tersebut juga, tegasnya, mestilah diumumkan dan disiarkan untuk makluman umum, manakala kelewatan dalam penstrukturan semula hanya akan melambatkan penambahbaikan infrastruktur perkhidmatan air dan menghalang perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

“Malaysia mesti belajar menguruskan NRW secara holistik. KeTTHA dan SPAN mesti mempunyai satu Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan sebelum 30 Jun 2012. Tiada ruang lagi untuk sebarang alasan kerana setiap titik air adalah bernilai,” tegas beliau.

harakahdaily

Share

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s