Kelemahan Pentadbiran UMNO/BN – Negara Hilang RM20 Bilion Setahun Akibat Ketirisan !

KUALA LUMPUR 16 DIS: Negara mengalami kerugian RM20 bilion setahun akibat pelbagai ketirisan,salah urus, pemborosan serta amalan kronisme yang berleluasa berlaku dalam kerajaan Umno-BN sebagaimana dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit negara baru-baru ini.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesan dari kerugian tersebut mengakibatkan negara menghadap defisit selama hampir 15 tahun secara berturut-turut.

Katanya, Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merupakan penjenamaan semula bagi menutup segala kerugian dan ketirisan yang telah berlaku sebelum ini.

“Kerajaan telah mengumumkan pada Ogos 2011 lalu RM173 bilion atau 77 peratus peruntukan ETP telah diberikan kepada syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC).

“GLC adalah syarikat-syarikat milik kroni dan bukannya dibuat secara tender terbuka untuk disertai oleh rakyat atau syarikat-syarikat tempatan.” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Debunking ETP: Widening The Income Gap (Menjawab ETP : Melebarkan Jurang Pendapatan) malam tadi.

Katanya, nasib yang sama juga di alami oleh syarikat petroliun negara, Petronas yang telah diperguna sepenuhnya oleh kerajaan untuk memperoleh sumber kewangan mudah tanpa melakukan apa-apa usaha mencari sumber baru.

“Antara 2006 hingga 2009, Kerajaan Persekutuan menggunakan RM236 bilion wang dari 55 peratus dari perolehan Petronas kepada kerajaan tetapi masih tidak dapat menampung mengurangkan tekanan ekonomi terhadap negara.

“Apa yang kita lihat, nilai defisit negara semakin bertambah banyak setiap tahun.

“Ini antara bukti bagaimana negara boleh kehilangan sebegitu banyak wang disebabkan oleh salah pengurusan, ketirisan dan amalan kronisme yang akan meruntuhkan negara ini sekiranya dibiarkan,” ujar beliau yang juga MP Permatang Pauh.

Menurut Anwar, dasar-dasar yang dilakukan oleh pemerintah sebelum ini juga turut mengakibatkan kesan yang sama.

“Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sememangnya baik dari segi matlamatnya tetapi akhirnya perlaksanaannya hanya berkisar kepada kumpulan-kumpulan tertentu yang ada kepentingan dengan pemimpin-pemimpin.

“Akhir sekali matlamat mengsasarkan 30 peratus untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu tidak tercapai.

“Yang tercapai hanya segelintir pembesar dan orang-orang yang rapat dengan pemimpin serta orang-orang Umno yang memperoleh kontrak-kontrak secara rundingan terus bersama para pemimpin mereka,” kata beliau.

Menurut Anwar, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengumumkan di Parlimen bahawa RM52 bilion telah diperuntukkan dibawah DEB tetapi hanya RM2 bilion sahaja dapat dikesan.

“Hingga ke saat ini Najib tidak memaklumkan kemana lesapnya baki RM50 bilion yang diperuntukan kepada agenda untuk memajukan orang melayu itu.

“Kita bukan membantah DEB tersebut tetapi yang kita tentang adalah penyelewengan yang berlaku secara berleluasa oleh kerajaan Umno-BN sehingga gagal mencapai matlamat untuk memajukan orang Melayu,” jelas beliau dimajlis yang dihadiri para kedutaan dan dif kehormat dari pelbagai negara.

Di majlis yang sama beliau yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen berkata Dasar Penswastaan juga mempunyai matlamat yang baik tetapi perlaksanaan telah menjadikan budaya kronisme bertambah buruk.

“Ketika zaman Dr Mahathir pula dasar penswastaan pula membentuk habuan kepada para kroni dan anak beranak dan apabila rugi wang rakyat digunakan untuk tujuan ‘bail out’.

“Yang rugi adalah rakyat tetapi para kroni dan anak beranak tidak pernah rugi tetapi terus mengaut wang berjuta ringgit dari wang rakyat.

“Setiap hari para kroni merompak dan mengaut wang rakyat. Inilah kerja mereka.” kata beliau.

Sehubungan itu menurut Anwar, Pakatan Rakyat menerusi pentadbiran mereka di Selangor dan Pulau Pinang telah berjaya menjadi negeri contoh yang bukan sahaja berjaya meningkatkan pelaburan luar negara malah berjaya menghasilkan belanjawan berimbang.

Ketika menjawab soalan para hadirin berhubung apa yang akan dilakukan sekiranya berjaya menguasai Putrajaya dalam pilihanraya akan datang, beliau berkata kaedah tersebut sedang dilaksanakan di negeri pakatan seperti Selangor dan Pulau Pinang

“Kita mengamalkan dasar ketelusan, kebertanggungjawaban, memahami dan melaksanakan dasar undang-undang secara betul dan mengadakan sistem tender terbuka adalah antara kaedah untuk mengelak dari berlakunya ketirisan berbilion ringgit wang negara sebagimana berlaku sekarang,” ujar beliau lagi.

TVS News

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s